Jumaat, Mei 17, 2013



CERITA LAMPU JALAN  DAN SATU DAERAH NAMANYA PENDANG

ini malam
calon Yang Berhormat masuk berita
laporan tentang lampu jalan
berdiri tegak berkilat
hasrat penduduk katanya tertunai sudah.

esok malam
masuk berita lagi
calon ini tertewas jua.

ZULKIFLI BIN MOHAMED
Kemaman, Darul Iman
04 - 05 Mei 2013.

Ahad, Julai 22, 2012

KE PINTU RAMADHAN (iii)


KE PINTU RAMADHAN (iii)

mencariMu
inilah bulanMu
aku sesat lagi
kembali ke pintuMu
angkatlah setiap doa hambaMu ini
aku ingin membasuh seluruh diri ini.

ZULKIFLI BIN MOHAMED
Chukai, Darul Iman
21 Julai 2012.

Jumaat, Jun 15, 2012

INGIN KEMBALI TERBANG


INGIN KEMBALI TERBANG

rinduku penuh
kepada setiap aksara
sering tertinggal
dalam gumpalan rasa
berikan aku sayap kata
juga tenang angin
moga setiap rindu lalu
mampu kutuliskan kembali.

ZULKIFLI BIN MOHAMED
Chukai, Darul Iman
15 Jun 2012.

Sabtu, Jun 02, 2012

WWW


WWW


ada wang
semua jalan
betul lagi hebat
ada wang
tunjuk-tunjukkan.

tiada wang
diam-diam
tiada wang
suara anda
siapa ambil peduli.

ZULKIFLI BIN MOHAMED
Chukai, Darul Iman
30 Mei 2012.

Isnin, Mac 19, 2012

KUALA LUMPUR


KUALA LUMPUR
(setelah 11 tahun, aku kembali jejak ke sini)

/1/ hotel lima bintang
bertapak masuk, di pintunya iras manusia Nepal
maju ke meja daftar masuk, gadis manis berbicara Inggeris
aku belasah Bahasa Melayu (peduli apa aku, ini bukan tanah jajahan)
aku pun bayar RM417.60 satu malam, darab 3 malam
banyak tu !, bayar mahal, aku nak berbahasa Melayu (suka hati akulah).

/2/ Aquaria KLCC
pengawal yang legar di kaki lima masih iras manusia Nepal
bayar lagi RM99.00 satu keluarga masuk
pusing-pusing semua ikan
selain ikan, dalamnya pun manusia iras Nepal
lihat baju memang dibayar sebagai pengawal keselamatan
aku tanya bahasa Melayu
bahasa tangan pulak dia jawab
oh Malaysia ku !.

/3/ hotel lima bintang
rehat-rehat di ruang lobi
yang keluar lif semua hidung mancung-mancung
serupa Arab pun ramai sekali
(aku di Malaysiakah sekarang ?).

/4/aktiviti makan-makan
masuk Medan Selera, ramainya manusia
pesanan sampai, makan, sila kira
tapi kenapa slanganya begitu ?
ini Jawa Selangor atau Indonesia ni ?

/5/empat hari tiga malam
selamat tinggal Kuala Lumpur
ibu kota Malaysiaku
apa ceritanya 11 tahun akan datang ?

ZULKIFLI BIN MOHAMED
Tingkat 29, Sunway Putra Hotel
Kuala Lumpur
12 - 15 Mac 2012.

Rabu, Februari 22, 2012

PATAH SERIBU


PATAH SERIBU


harus begini
terus larut
tanpa ruang
kembara derita
berlipatan rapi.

saat berulang
waktu berdiri
simpuhkan seluruh.

ZULKIFLI BIN MOHAMED
Kemaman, Darul Iman
22 Februari 2012.

Isnin, Januari 02, 2012

OMBAK RINDU


OMBAK RINDU

terpecah satu-satu
terasing jauh-jauh
berpintalan busa
semakin jauh
semakin pedih.

ZULKIFLI BIN MOHAMED
Lot 144, Darul Iman
31 Disember 2011.

HAK CIPTA TERPELIHARA ZULKIFLI BIN MOHAMED

Hak cipta terpelihara ke atas semua karya yang termuat di dalam laman blog ini. Semua hasil karya ditulis dan dihasilkan sendiri oleh penulis laman blog ini, Zulkifli bin Mohamed. Tidak dibenarkan mengeluar, mengambil, menciplak atau mengulang mana-mana karya yang terkandung dalam laman blog ini dalam apa juga bentuk dan cara - sama ada secara elektronik, fotokopi dan sebagainya tanpa mendapat izin bertulis daripada penulis.

PUISI PALING BANYAK BACAANNYA OLEH UMUM