Memaparkan catatan dengan label Perjalanan Mencari Cahaya. Papar semua catatan
Memaparkan catatan dengan label Perjalanan Mencari Cahaya. Papar semua catatan

Selasa, Februari 09, 2010

PAPAN HIDUP


PAPAN HIDUP
(menang bukanlah segalanya)

hitam putih
cuma pilihan
menjadi kotak
kita di dalamnya.

undur maju
pilihan cuma
menjadi bidak
di dalamnya kita.

ZULKIFLI BIN MOHAMED
Chukai, Darul Iman
09 Februari 2010.

Isnin, April 13, 2009

WAKTU


WAKTU

aku semakin tua
melihat anak-anak kecil
di pangkuan isteri-isteri sahabatku.

aku semakin miskin
melihat kereta-kereta sahabatku
menjalar di laman.

aku semakin sepi
apabila kalian berangkat pulang.

sesekali terluang
utusilah khabar.

aku seperti selalu
sahabat yang dahulu.

ZULKIFLI MOHAMED
Lurah Bilut, Darul Makmur
05 Februari 1998.

Khamis, Mac 26, 2009

SURAT ( iii )


SURAT ( iii )
(buat teman-temanku juga, kita selalu begitu)

( i )
bukan rasa bersalah
mahupun kesunyian
aku kembali berulang ke daerah ini
menemukan cakap-cakap, dengan cerita
hambar dan sinar mata sepi
aku dan engkau, bukan kita lagi.

( ii )
banyak hari yang terhimpun
amat sulit diulang sejarah
kita, bukan kita lagi.
(berpuing-puing diraba angin
gugur sebagai tangkai daun kering
kaku, di perdu pohon keasingan).

ZULKIFLI MOHAMED
Bangi, Darul Ehsan
05 Mac 1994.

Sabtu, Mac 21, 2009

SURAT ( ii )


SURAT ( ii )

(buat teman-teman yang kadangnya, sukar dimengertikan)

bukan kerana ketika
mahupun waktu-waktunya
kita belajar melupakan
nilai persahabatan ini, terhapus pergi
pada jarak dan peluang
kita pilih sendiri-sendiri.

ZULKIFLI MOHAMED
Kemaman, Darul Iman - Bangi, Darul Ehsan
13 Februari 1994.

Selasa, Mac 17, 2009

SUATU KETIKA ( iii )


SUATU KETIKA ( iii )


( i )
suatu ketika,
saat menempuh medan ilmu
kusaratkan diri
dengan segala kata
di belakang, kutinggalkan
wajah-wajah yang banyak
menghidupkan pengalaman diri.

( ii )
suatu ketika lainnya
kata hati,
"terlupakah aku
menyarungkan kembali harapan
ke dalam beg kasih sayang
bangsaku ?".

ZULKIFLI MOHAMED
Bangi, Darul Ehsan
21 Januari 1994.

ADAPTASI


ADAPTASI


pada dagingku telah tumbuh
sedikit keintelektualan
tiada sedikit, membayarkannya
dengan kesabaran.

jarak masa yang ku tunggangi
tiada letih dan mati oleh doa
bukan mudah, mengenderai
tanpa keinsafan.

aku tetap kerdil
membawa daging yang tumbuh.
masa sering melesukan
pada kesabaran dan keinsafan
kadangnya tipis sekali.

ZULKIFLI MOHAMED
Bangi, Darul Ehsan
Januari 1994.

PERJALANAN MENCARI CAHAYA


PERJALANAN MENCARI CAHAYA


di rumah kecil
berkepung pagar kemiskinan
masih ada bumbung kasih
memberikan ruang syukur.
(bahawa, banyak kasih
telah mati dalam penjara nikmat).

dari cerita budak hingusan
riang dan nakal
membawa rasa tanggungjawab
tak putus kutemui.
(kemelaratan, tak pernah sampai
untuk sebiji mata pun
hanya material mampu membuka saudara).

aku pun menangguhkan keriangan
mengetuk-getuk ruang ilmu
kuat sekali berprinsip.
("ilmu membawa banyak pintu
seumpama kunci kecil untuk pintu besar.
material tidak lebih nikmat
seumpama bukit, disondol kian habis").

tanpa lupa
berkali aku, mengusahakan jadi manuia baik
biarpun dalam perjalanan mencari cahaya ini
tiada lebih
sebuah permainan silangkata !.

ZULKIFLI MOHAMED
Kemaman, Darul Iman
14 Disember 1993.

SUATU KETIKA ( ii )


SUATU KETIKA ( ii )


suatu ketika, kata guru
pakukan rasa malumu
untuk mengulangi setiap kesilapan
kerana tiada tangga ke atas
walau sekali cuma, jatuhnya tetap sakit.
sambil memberikan banyak kayu
untuk kupakukan menjadi tangga itu
ketika tahun baru itu berulang.

dan, di setiap ruang persegi
berhari-hari lamanya
kuhauskan setiap kaki kerusi.
sedang papan hijau itu
tiada kedekut dengan ilmumu.

ZULKIFLI MOHAMED
Kamsis Burhanuddin Helmi, Darul Ehsan
Disember 1993.

Isnin, Mac 16, 2009

SUATU KETIKA ( i )


SUATU KETIKA ( i )


suatu ketika, kata ibu
kau harus dirikan
tiang untuk rumahmu sendiri
moga adik-adikmu
turut menggenapkan kemudiannya.
sambil menyarungkan buku-buku harapan
ke dalam beg kasih sayangnya
ketika tahun baru itu tiba.

dan, di bahu kiri ini
bertahun-tahun lamanya
kupikul beg itu
sedang buku-buku harapanmu
semakin menebal.

ZULKIFLI MOHAMED
Bangi, Darul Ehsan
07 November 1993.

UNTUK ADIK-ADIKKU


UNTUK ADIK-ADIKKU

saat rumah ini
menghantarkan kedukaan ke pintunya
keberanian seharusnya
membesar bersama-sama anak-anakmu ini.
dan barangkali
ibu akan bersedih
meninggalkan kami sebukit kerikil
buat telapak tiada sepatunya.

saat rumah ini
menghidupkan kecintaanmu di banyaknya hari
kebahagian seharusnya
meneduhkan hati anak-anakmu ini.
bukan barangkali lagi
menjadikan aku seorang Adam
kuat hidupnya
membawa sumpah di bibir, untuk adik-adikku.

ZULKIFLI MOHAMED
Kemaman, Darul Iman
November 1993.

Ahad, Mac 15, 2009

TUMPANGAN INI


TUMPANGAN INI


ada waktunya
ketika meletakkan
keletihan di katil
memandang penuh tembus ke wajah bumbung
antara kosong itu
banyak wajah terasa dekat.

dengan segala kekurangan
dan kelobaan hasrat
aku dikunjungi resah
jika sepasang kaki yang kujatuhkan ini
tersesat di jalan.

dengan segala kepercayaan
juga
kemesraan mereka yang di hati
ketabahan membatasi segalanya
menyakinkan aku
tumpangan ini harus terisi.

ZULKIFLI MOHAMED
Kamsis Burhanuddin Helmi, Darul Ehsan
September 1993.

SEMUT DAN PEPATUNG


SEMUT DAN PEPATUNG


( i )
di dinding putih
seekor semut
mencari jalan pulang
setelah terpisah induknya
resah - mengulangi jalan yang sama.

di cahaya mentol
seekor pepatung sesat
menumpang kehangatan
seketika, siang menyembunyikan rupanya
tabah - menantikan bebas terbang lagi.

( ii )
esoknya lagi
wujudkah aku
antara semut atau pepatung itu ?

ZULKIFLI MOHAMED
Kamsis Burhanuddin Helmi, Darul Ehsan
September 1993.

HAK CIPTA TERPELIHARA ZULKIFLI BIN MOHAMED

Hak cipta terpelihara ke atas semua karya yang termuat di dalam laman blog ini. Semua hasil karya ditulis dan dihasilkan sendiri oleh penulis laman blog ini, Zulkifli bin Mohamed. Tidak dibenarkan mengeluar, mengambil, menciplak atau mengulang mana-mana karya yang terkandung dalam laman blog ini dalam apa juga bentuk dan cara - sama ada secara elektronik, fotokopi dan sebagainya tanpa mendapat izin bertulis daripada penulis.

PUISI PALING BANYAK BACAANNYA OLEH UMUM