Memaparkan catatan dengan label Kukuhnya Bonda. Papar semua catatan
Memaparkan catatan dengan label Kukuhnya Bonda. Papar semua catatan

Selasa, Januari 26, 2010

KUKUHNYA BONDA ( ii )


KUKUHNYA BONDA ( ii )

telah kukisari separuh dari usiamu ibu
tetap dan masih seperti selalu
kau mencintai aku
sebagaimana aku seorang anak lelaki yang pernah telanjang
memegang sebotol susu, paling nikmat dan pernah basah di deria ini.

telah kukisari usiamu ibu separuh dalam diri aku ini
seperti selalu masih dan tetap
kau mencintai aku ini
sebagaimana aku seorang anak lelaki yang mempelajari cinta seorang wanita
memegang seberat janji, paling pasti dan penuh basah kenang-kenangan bersamamu.

ZULKIFLI BIN MOHAMED
Kemaman, Darul Iman
26 Januari 2010.

Ahad, Mei 10, 2009

OLEHMU JUA


OLEHMU JUA

(buat bonda tercinta, Puan Nor Azizah Abu Bakar)

bonda
ucap katamu hikmah berlapik
marah ajarmu kasih berdinding
jadi pandu hala jalan yang kulalui
jadi garis lintang sempadan diri.
terima kasih bonda, jika akulah
selalu kau pujikan
aku berbesar hati, sebagai anakmu.
kerana jalan ini, dipandu olehmu jua.

ZULKIFLI BIN MOHAMED
Kemaman, Darul Iman
17 November 2003.

Jumaat, April 17, 2009

KUKUHNYA BONDA


KUKUHNYA BONDA


( i )
ibuku semakin tua
entah sejarah
apakah lagi disimpannya
belum mampu kuterkai seluruhnya.

( ii )
masakanmu tetap harum
membesarkan aku
menjadikan lelaki, anakmu ini.

( iii )
sesekali, sewaktu
dipinta menguruti
kebas di belakangmu
aku merasai letihnya ibu
mengajarkan hidup
menjadikan aku lelaki, anakmu ini.

( iv )
setiap kali
kuciumi tanganmu ibu
tiada sanggup kutoleh
ke belakang, melihat wajahmu ibu
kalau-kalau perpisahan ini
tiada terulang lagi.

( v )
maafkan aku ibu.

ZULKIFLI MOHAMED
Kemaman, Darul Iman - Lurah Bilut, Darul Makmur
03 Mac 1998.

Selasa, Mac 17, 2009

ADIKKU SITI


ADIKKU SITI


kerana aku sayang akanmu, Siti
tubuhmu tidak kugendong lagi
tidak juga menciumi harum bibir.
kerana aku mahu jadikan dirimu
lebih pintar dariku
ada waktu-waktunya
kata-kata jadi keras.

melangkahi bukan sedikit
ke daerah jarak dan waktu
ada kesuburan di dadamu, Siti.
itulah kebimbangan
membubuhi kepalaku
bernaung harap.
"jadilah seperti ibu
perempuan paling baik, bukan ?
lahir untuk menjadi perempuan
sulit, adikku Siti".

ZULKIFLI MOHAMED
Bangi, Darul Ehsan
Januari 1994.

ADA CERITA PADA SEBUAH MALAM


ADA CERITA PADA SEBUAH MALAM


malam itu
aku mengenali seorang lelaki
yang memanggil ibuku kakak,
bersama dua putera dan seorang puteri
duduk lesu seorang ibu mengandungkan
anak keempat.
anaknya yang ku panggil
Along sudah tiga belas tahun
sedang puteri kecil petah bertutur.
wajah ibunya cukup lembut
dalam telekung kuning susu
walau kerap membetulkan duduk.
selesai makan malam
sebelum meninggalkan rumah kami
lelaki tinggi kurus itu,
menasihati aku agar
menjadi anak yang baik
biarpun ditinggalkan ayah.

malam itu
setelah satu tahun,
lelaki yang ku temui di dalam
keluarga yang bahagia itu
mengulangi kunjungan ke rumah kami.
bersama di kerusi ruang tamu
seorang perempuan lebih muda,
berjeans biru berambut pendek
mencuri-curi pandang dengan mata galaknya.
sambil meneguk lambat teh o panas
yang ibu letakkan di meja kecil
lelaki itu menceritakan
sang isteri telah dihantarkannya
ke kampung - sebuah ikatan telah punah.
dengan batuk kecil, lelaki itu mengakhirkan kata
gadis bermata galak itu bakal isterinya.

malam itu
ketika kepalaku di bantal
seakan kelihatan bulan resah
digantungkan ke langit.
sedang si anak kehilangan sepasang tangan
yang lebih kuat untuk membantu
mengajarkan sebuah hidup.
aku pun berbisik resah
"seharusnya lelaki itu
tidak menasihati aku untuk
menjadi anak yang baik tanpa ayah
sebetulnya, menjadi lelaki
yang baik kepada sebuah keluarga".

ZULKIFLI MOHAMED
Kemaman, Darul Iman
08 Disember 1993.

Ahad, Mac 15, 2009

FRAGMEN PEREMPUAN MENJADI LELAKI


FRAGMEN PEREMPUAN MENJADI LELAKI


atas kesulitan
bukan sedikit, berarus seumpama sungai
mencabar tebing hati
perempuan yang seorang ini.
meriwayatkan istana hidup
(memiliki seorang lelaki pelindung
berkhidmat kepada ceria anak-anak
utuh dalam ikatan kasih, alangkah !).
waktu pun menghadiahkan
harga hidup, tiada pernah kelihatan
- tiada lelaki pelindung
anak-anak cuma, memberikan
sebahagian kebahagian
untuk dirinya, pasrah dalam doa
yang tiada mati oleh masa.

dari rusuk kiri yang lemah itu
menjadilah dia - seorang perempuan dan
seorang lelaki, penuh tegar.
tiada terusik oleh songsang angin
biar halus ke batin ada luka
tertusuk derita kurniaan lelaki, suami
yang menjual cintanya di pertengahan jalan.

di ruang penjuru hidupnya, kini
hanyalah pengabdian penuh
tertatang seumpama minyak
buat anak-anak yang separuh mengerti
selebihnya hanya mampu simpati.
(tiada henti mengajarkan hidup
agar tiada menjadi seperti ibu.
perawan anakku, hidup ini sulit
di tangan lelaki
pemuda anakku, usah persulitkan
dunia perempuanmu).

ZULKIFLI MOHAMED
Kemaman, Darul Iman
1990.

HAK CIPTA TERPELIHARA ZULKIFLI BIN MOHAMED

Hak cipta terpelihara ke atas semua karya yang termuat di dalam laman blog ini. Semua hasil karya ditulis dan dihasilkan sendiri oleh penulis laman blog ini, Zulkifli bin Mohamed. Tidak dibenarkan mengeluar, mengambil, menciplak atau mengulang mana-mana karya yang terkandung dalam laman blog ini dalam apa juga bentuk dan cara - sama ada secara elektronik, fotokopi dan sebagainya tanpa mendapat izin bertulis daripada penulis.

PUISI PALING BANYAK BACAANNYA OLEH UMUM