Memaparkan catatan dengan label Rinduku-Mu. Papar semua catatan
Memaparkan catatan dengan label Rinduku-Mu. Papar semua catatan

Ahad, Julai 22, 2012

KE PINTU RAMADHAN (iii)



KE PINTU RAMADHAN (iii)

mencariMu
inilah bulanMu
aku sesat lagi
kembali ke pintuMu
angkatlah setiap doa hambaMu ini
aku ingin membasuh seluruh diri ini.

ZULKIFLI BIN MOHAMED
Chukai, Darul Iman
21 Julai 2012.

Selasa, Ogos 09, 2011

KE PINTU RAMADHAN (ii)


KE PINTU RAMADHAN (ii)

bulanMu berkunjung kembali
panas membakar
kesabaran setiap hambaMu
meleburkan kemungkaran
tertanam dalam-dalam
berdebu
bersatu
setahun yang lalu.

pencerahan demi pencerahan
satukanlah dalam rahmatMu.

ZULKIFLI BIN MOHAMED
Chukai, Darul Iman
08 Ogos 2011.

Khamis, Disember 17, 2009

RUANG DIRI


RUANG DIRI
(Salam Maal Hijrah1431)

seluruhnya tiada terulang
kesempatan tiada kedua
detik telah ke hadapan
tiada terpatah lagi
ruang diri hampir terpenuhkan
antara dua jalan
aku berjalan tahun demi tahun.

ZULKIFLI BIN MOHAMED
Chukai, Darul Iman
17 Disember 2009.

Ahad, Disember 13, 2009

MENCARI TUHAN


MENCARI TUHAN

( i )
dalam rakus hidup yang terluka
ramai mencari Tuhannya
mencari dalam ruang merkah
terpalit seluruh nafsu
akal kadangnya setapak cuma
maka Tuhan yang dicari
dijumpai pada daratan keliru
berbasahan lautan nista.

( ii )
mana Tuhanmu ?
aku tidak layak menjawab untukmu.

ZULKIFLI BIN MOHAMED
Kuala Terengganu, Darul Iman
12 Disember 2009.

Sabtu, November 28, 2009

DOA


DOA


( i )
dalam diam
didampingi sunyi
aku temui malam.

( ii )
selembut hati
kutadahkan sepasang
tangan yang hina ini
aku mohonkan usia
yang tersisa dalam kalendar
diri - membentuk aku yang
lebih sempurna.

( iii )
kerana aku manusia
dalam senafas
sejuta dosa menadah !.

ZULKIFLI BIN MOHAMED
Ibok, Darul Iman
28 November 2009.

Sabtu, November 07, 2009

DI ATAS SEJADAH YANG DIAM


DI ATAS SEJADAH YANG DIAM


jalan yang lurus
telah tertulis antara
alif dan ya
kita hanya manusia
mendiami usia yang terlebur.

saat tidur terakhir
ada antara kita menangis
di atas sejadah yang diam.

ZULKIFLI BIN MOHAMED
Marang, Darul Iman
06 November 2009.

Ahad, Oktober 04, 2009

KITA YANG MERASAI MUDA


KITA YANG MERASAI MUDA


kita yang merasai muda
masih sempatkah nanti
bersujud menemui diri.

kita yang merasai muda
masih bertelanjangan
silu terbuang lama.

seluruhnya terbaki cuma
sesungguhnya
alam semakin sakit.

ZULKIFLI BIN MOHAMED
Kemaman, Darul Iman

04 Oktober 2009.

Selasa, September 15, 2009

MENGAKHIRINYA


MENGAKHIRINYA


ke penghujung begini
larian hari seakan tiada terbendung lagi
kita semakin menamatkannya
dengan doa putih terputik dari kalbu paling dalam
semoga seluruhnya terhasil
dikecapi sekali lagi dalam ruangan 1431 Hijrah.

ZULKIFLI BIN MOHAMED
Kemaman, Darul Iman
15 September 2009.

Ahad, September 06, 2009

HIMPUNAN


HIMPUNAN

bacalah
antara pena dan tulisan
inilah kunci pengetahuan
mukjizat kekal untuk umat manusia
lengkap suatu perpindahan dari atas ke bawah.

bacalah dengan nama TuhanMu
pada suatu malam 17 Ramadhan.

ZULKIFLI BIN MOHAMED
Kemaman, Darul Iman
06 September 2009.

Rabu, September 02, 2009

RAMADHAN DALAM SENJA


RAMADHAN DALAM SENJA


ketika rezeki masih di kerongkong
tangan mengira godaan hidangan
dalam senja kali ini
mungkin antara kita
tidak terlihat bucu kesedihan
kalangan insan yang kehabisan keringat diri
terpenjara dalam senja
di setiap Ramadhan ini.

ZULKIFLI BIN MOHAMED
Perumahan Lot 144, Darul Iman
02 September 2009.

Jumaat, Ogos 28, 2009

RAMADHAN 2 HIJRAH



RAMADHAN 2 HIJRAH


kekufuran Quraisy rentung dalam Badar yang luka
teguh dengan janji Allah
tanpa undur lagi 313 penjihad Islam
tiada gentar menundukkan 1000 tentera Quraisy
inilah perang antara hidup dan mati agamaMu, Islam
dunia dan akhirat
membaluti 17 Ramadhan 2 Hijrah
Perang Badar untuk Islam yang tiada mati.

ZULKIFLI BIN MOHAMED
Kemaman, Darul Iman
27 Ogos 2009.

Selasa, Ogos 25, 2009

SUJUD


SUJUD


saat menciumi wajah sejadah
sujud diri merendahkan hati
Tuhan maafkan hambaMu ini
seringkali meminta terlalu banyak
sedang nikmatMu gagal kuhitung.

ZULKIFLI BIN MOHAMED
Kemaman, Darul Iman
25 Ogos 2009.

Rabu, Ogos 19, 2009

KE PINTU RAMADHAN


KE PINTU RAMADHAN

di angka sembilanMu
membakar panas matahari ke tanah-tanahMu
tertulis huruf-huruf al-QuranMu
tertulis rahsia-rahsia Lailatur QadarMu
tertulis janji-janji satu teratas dari seribu bulanMu
tertulis di dalamnya rahmatMu
tertulis di dalamnya pengampunanMu
tertulis di dalamnya kemerdekaanMu.

ZULKIFLI BIN MOHAMED
Kemaman, Darul Iman
18 Ogos 2009.

Jumaat, Ogos 14, 2009

PENANGGUHAN


PENANGGUHAN
(untuk "Aku Yang Tidak Sempurna")

di pintu al-Khaliq
aku menulis pengakuan ini
sesungguhnya aku manusia
terzarah dari kewujudan tanah
seperti siang berapikan haba aku tiada tercukup
tanpa malam berbulan bintang yang tenang
di pintuMu al-Khaliq
dalam waktu-waktu yang kian padu ini
aku memohon suatu penangguhan
agar kewujudan aku ini
tercukup sebagai hambaMu yang lebih baik.

ZULKIFLI BIN MOHAMED
Kemaman, Darul Iman
13 Ogos 2009.

Isnin, Jun 15, 2009

KESEMPURNAAN


KESEMPURNAAN

kesempurnaan
terlukis di kaki langit
warna-warni pelanginya.

kesempurnaan
tertumpat di dada air
bergulung sembah ombaknya.

kesempurnaan
tergenggam dalam zatNya
hambaMu ini kerdil sekali.

ZULKIFLI BIN MOHAMED
Kemaman, Darul Iman
07 September 2007.

Ahad, Mei 17, 2009

JERNIH


JERNIH


atas hamparan hitam putih hidup
aku basuhi jernih wuduk
Tuhanku,
ar-Rahman
al-Aziz
al-Fattah
terimalah pembasuhan ini.

ZULKIFLI BIN MOHAMED
Kuala Besut, Darul Iman
23 Disember 2004.

Isnin, Mei 04, 2009

KESUNYIAN SEPERTI INI


KESUNYIAN SEPERTI INI


kesunyian seperti ini
menebarkan benih kasih
tumbuh tanpa ruang
sempadan yang luas, semakin luas
ingin kubunuh segala sifat
tanpa rasa berdosa
berteleku dan berdoa
menjadikan aku kerdil
di setiap malam bening
menggantung harap di dada
langit tiada berbulan.

ZULKIFLI BIN MOHAMED
Bentong, Darul Makmur
07 Oktober 2001.

Isnin, April 20, 2009

KATA USTAZ


KATA USTAZ


kata ustaz
"berbuat baik kepada ibu bapa
lebih utama daripada
beribadat dua puluh dua juta tahun".
(saat menyelusuri perut kota
melalui jejantas tinggi
manusia bersesak
mencari ruang hidup sendiri-sendiri.
sedang ibu-ibu tua
merempat dalam kesibukan
menjual tisu, membeli simpati
perut perlu diisi
di manakah anak-anak yang baik ?).

kata ustaz
"Rasulullah telah mengingatkan
rebutlah lima perkara
waktu muda sebelum tuamu
waktu lapang sebelum sibukmu
waktu senang sebelum susahmu
waktu sihat sebelum sakitmu
waktu hidup sebelum matimu".
(dalam perut kota yang sama
anak-anak muda memburu keseronokan
membesar di tangga-tangga kompleks.
orang-orang tua dan kaya
mendakap perempuan muda
dalam gelap pesta dangdut
di manakah peribadi yang baik-baik ?).

ZULKIFLI MOHAMED
Pudu Raya, Kota Besar Malaysia
02 Disember 1998.

Selasa, Mac 17, 2009

RINDUKU-MU


RINDUKU-MU

Tuhan
semakin sulit kumaknakan
terima kasih ini
hatiku kian keras
serba rakus terbit ke luar diri
biarpun, berkali aku sesat ke mari
dalam sujud penuh seluruh
mencari-Mu di kubah tinggi.

Tuhan
semakin sukar kutembusi
makna kehidupan
cermin yang kulihat itu
adalah carikan sejarah
serba calar dan ada retak penjurunya
kini, biarkan aku merindui
putihnya pakaian akhir.

Tuhan
Tuhan
Tuhan
peluklah aku
dalam buruj rinduku-Mu.

ZULKIFLI MOHAMED
Universiti Kebangsaan Malaysia, Darul Ehsan
Januari 1994.

HAK CIPTA TERPELIHARA ZULKIFLI BIN MOHAMED

Hak cipta terpelihara ke atas semua karya yang termuat di dalam laman blog ini. Semua hasil karya ditulis dan dihasilkan sendiri oleh penulis laman blog ini, Zulkifli bin Mohamed. Tidak dibenarkan mengeluar, mengambil, menciplak atau mengulang mana-mana karya yang terkandung dalam laman blog ini dalam apa juga bentuk dan cara - sama ada secara elektronik, fotokopi dan sebagainya tanpa mendapat izin bertulis daripada penulis.

PUISI PALING BANYAK BACAANNYA OLEH UMUM