Memaparkan catatan dengan label Tresna. Papar semua catatan
Memaparkan catatan dengan label Tresna. Papar semua catatan

Rabu, November 18, 2009

TRESNA ( xv )


TRESNA ( xv )

( i )
aku, kamu
dan tresna
tersisa lama dalam lompang waktu.

( ii )
kamu, aku
dan tresna
terpasung kekal dalam lompang waktu.

( iii )
tresna,
aku dan kamu - (masih)
terdetik saat-saatnya kekal menjadi kita.

ZULKIFLI BIN MOHAMED
Mak Lagam, Darul Iman
18 November 2009.

Isnin, Jun 08, 2009

TRESNA ( xiv )


TRESNA ( xiv )

aku tiada pernah
tewas begini teruk
menjadi begitu kosong
terpatah tak bertongkat.

ZULKIFLI BIN MOHAMED
Kemaman, Darul Iman
21 Mac 2007.

Jumaat, Mei 01, 2009

TRESNA ( xiii )


TRESNA ( xiii )


hingga saat ini
aku hanya menikahi
sekeping gambarmu.

kau masih senyum
seperti selalu
dalam kurung merahmu itu.

anak-anak kita
hanyalah kenangan
sarat terhimpun segalanya.

ZULKIFLI BIN MOHAMED
Karak, Darul Makmur
17 Julai 2000.

Khamis, April 02, 2009

TRESNA ( xii )


TRESNA ( xii )


( i )
sekian saat yang pergi
menentukan ketibaan yang baru
gigil angin merusuh lagi.
Rama itu akulah
Sita itu dirimulah.

( ii )
maaf, jangan ada luka
di pohon epalmu itu
tiada kesanggupan lagi
kutampung
sebuah tresna
maha suci.

ZULKIFLI MOHAMED
Bentong, Darul Makmur
10 Ogos 1997.

Rabu, April 01, 2009

TRESNA ( xi )


TRESNA ( xi )


( i )
ingin kukeluar
dari kepompong keliru ini.
dibiarkan begini
memberatkan ketajaman akalku
serba menguji.

telah diajarkan
kepadaku kejujuran.
untukmu kejujuran itu
ingin kuhidupkan
sekalipun, terlalu sukar
dengan perlakuan.

jarak waktu dan kesabaran begini
kemampuan tiada
bersamaku
untuk membaca isi hatimu itu.
berteranglah dengan perkataan
sepenuh kejujuranmu.

( ii )
aku manusia lelaki
hanya meminta
tak ketahuan
benarkah kepada tempatnya.

aku manusia lelaki
tiada perlu
menolak hakmu
untuk menentukan kejujuran.

( iii )
sekali ini cuma
tiada lagi permintaan buatmu.

ZULKIFLI MOHAMED
Lurah Bilut, Darul Makmur
07 Julai 1997.

Isnin, Mac 30, 2009

TRESNA ( x )


TRESNA ( x )


( i )
rupanya akulah
sendirian meredah gerimis
di senja itu, tersentuh ulu hati
oleh sejuk angin yang pergi.

siapakah yang akan menjawab
segala rasa keliru ini
dalam dingin, kurasakan hangat
membakar dinding kelakianku ini
dalam indah, kurasakan kelam
menghilang pergi di balik titik yang kuhadap.

sepagi aku bangun
mencari nyaman udara
di ruang yang kurasakan menyempit
di antara dua bahu.

( ii )
kaca air di tembikar mewah
tiada mampu menahan
kelopak merah
tetap ke bawah mencari dukanya.

sedang durinya
tetap melukakan tanpa kasihan.

ZULKIFLI MOHAMED
Lurah Bilut, Darul Makmur
31 Mac 1997.

TRESNA ( ix )


TRESNA ( ix )


senja ketujuh
ke malam keempat puluh
debar antara rongga
tiada melepaskan keharuan rasa.

malam larut keempat puluh empat
membawa dinihari yang entah keberapa
kesakitan ini
tiada menyempurnakan tiduran malam.

hanya itu, satu hati
dari milikmu.

ZULKIFLI MOHAMED
Lurah Bilut, Darul Makmur
24 Mac 1997.

TRESNA ( viii )


TRESNA ( viii )


saat runcing busur
menyongsong ke kiri
jantung pohon epal
Rama merasai gigil angin
meruap dingin peluh.

saat Sita menyisir
dandanan terakhir
di depan cermin putih berkaca
ada perasaan tumbuh
merencik menjadi api
di mata hati.

suatu petang
di bawah pohon yang telah
dilupakan namanya
bersaksikan Hanuman Putih
terungkap kata-kata Rama
menguji takdir
"menangilah hatiku
dengan kemampuanmu".
di atas sana
Dewata mendengarkan
setiap yang tidak diungkap.

ZULKIFLI MOHAMED
Jitra, Darul Aman
09 Ogos 1996.

TRESNA ( vii )


TRESNA ( vii )


aku tahu kau
pada dirimu penuh kasih
penuh teguh
dan, aku hanyalah
lelaki yang tahu menolak.

aku tahu kau
meminta kepada tempatnya
penuh menimbangkan rasa dan malu
dan, aku cumalah
lelaki yang berdindingkan prinsip.

berterima kasihlah
kerana pertemuan ini
kepada duri yang patah
kau tetap bunga yang merah.

ZULKIFLI MOHAMED
Jitra, Darul Aman
10 Februari 1996.

Khamis, Mac 26, 2009

TRESNA ( vi )


TRESNA ( vi )


kuwarnakan kembali merah.

tiada keresahan meninggalkan
pelabuhanmu itu.

tinggallah dirimu dalam kabus
dingin pagiku.
lautan ini, masih sudi
menemukan pangkalan setia.

ZULKIFLI MOHAMED
Kamsis Burhanuddin Helmi, Darul Ehsan
22 Mac 1994.

TRESNA ( v )


TRESNA ( v )


dalam luka ini
aku tegarkan perasaan punah ini
sekuat lelaki pelaut.
(khabarkan buat asin ombak
basahkan merah ini
aku kukuh, sekuat batuan
di pinggir laut !).

pergilah, jangan menoleh lagi
tiada rindu
tiada hasrat
di sisi jantung ini.

ZULKIFLI MOHAMED
Kamsis Burhanuddin Helmi, Darul Ehsan
21 Mac 1994.

TRESNA ( iv )


TRESNA ( iv )


ketika-ketikanya, melepaskan
diri seorang lelaki ke permukaan
lautan hijau kebiruan.
berbahang api perasaan ini
menjadi pecahan dan desau ombak.

serba merayu kerelaan bibir
pantaimu.

ZULKIFLI MOHAMED
Bandar Baru Bangi, Darul Ehsan
07 Mac 1994.

TRESNA ( iii )


TRESNA ( iii )


sewaktu kugarisi kaki langit
ke gemawan lepas, gumpalan rindu ini
meruap mesra ke dingin kabus
serba memutihkan debar dan harap.

mendasari rimbun pepohon hijau
tiada cacat kesempurnaan ranting-ranting
ditanggungi akar, dersik angin yang memesrai dedaun
sering membisikkan kata-kataku
yang mengkali tiada didengarimu.

ZULKIFLI MOHAMED
Bangi, Darul Ehsan
03 Mac 1994.

Jumaat, Mac 20, 2009

TRESNA ( ii )


TRESNA ( ii )


pada dinding serba malu dan berahi
telah kukeluarkan
seorang lelaki dengan rupanya.
kembali menemui keindahan
di sebuah taman
serba harum
kasturi, kemabukan
yang tumbuh dan mengakari kewarasan
seorang aku.

ZULKIFLI MOHAMED
Bangi, Darul Ehsan
03 Februari 1994.

Isnin, Mac 16, 2009

TRESNA ( i )



TRESNA ( i )

manis
salam ini untukmu
biar sampai ke hati dan kalbumu.
jangan angin membawa salam ini
ke tempat
selain sisimu itu.

ZULKIFLI MOHAMED
Bangi, Darul Ehsan
17 November 1993.

HAK CIPTA TERPELIHARA ZULKIFLI BIN MOHAMED

Hak cipta terpelihara ke atas semua karya yang termuat di dalam laman blog ini. Semua hasil karya ditulis dan dihasilkan sendiri oleh penulis laman blog ini, Zulkifli bin Mohamed. Tidak dibenarkan mengeluar, mengambil, menciplak atau mengulang mana-mana karya yang terkandung dalam laman blog ini dalam apa juga bentuk dan cara - sama ada secara elektronik, fotokopi dan sebagainya tanpa mendapat izin bertulis daripada penulis.

PUISI PALING BANYAK BACAANNYA OLEH UMUM