Memaparkan catatan dengan label Sekeping Cermin Dalam Rumah Hidup. Papar semua catatan
Memaparkan catatan dengan label Sekeping Cermin Dalam Rumah Hidup. Papar semua catatan

Selasa, September 29, 2009

LILIN KELAPAN


LILIN KELAPAN


mencintaimu selalu
biarlah begitu.

melepaskan hembusan
kita membilang lilin kelapan.

ZULKIFLI BIN MOHAMED
Kemaman, Darul Iman
29 September 2009.

Khamis, Julai 16, 2009

TANPA LILIN


TANPA LILIN

('Selamat Ulangtahun Kelahiran' suriku, Khatijah)

tanpa lilin
tanpa kartu tanda
kuikatkan segala kata
menjadi satu puisi hati.

ZULKIFLI BIN MOHAMED
Kemaman, Darul Iman
05 Julai 2009.

UNDANGAN KASIH


UNDANGAN KASIH

(anakandaku, Yasmin Sahira)

kelahiran ketiga
membawa watak pertama seperti kekandamu
selamat hadir
ke laman putih hitam bidak catur
kukuhkan strategi
ayahanda ajari.

ZULKIFLI BIN MOHAMED
Kemaman, Darul Iman
30 Jun 2009.

Selasa, Julai 14, 2009

IBU


IBU

(dedikasi 'Hari Ibu' buat Dr. Mawar Shafei)

saat hidup
bertikarkan waktu
kandungan darah
teralir kasihmu ibu.

kusapukan wajah
melihat diri
di dalamnya ada
dirimu ibu.

ZULKIFLI BIN MOHAMED
Perumahan Lot 144, Darul Iman
10 Mei 2009.

Ahad, Jun 21, 2009

DUNIA KITA


DUNIA KITA

(Khatijah isteriku, tiada yang mudah dalam satu-satu perkerjaan)

di wilayahmu
kedapatan makhluk bersifat banyak bentuknya
separuh normal
separuh sedar
tiada sedar, tak kurang pejam terus.
bermain darah najis manusia
picagari
dadah
ubat-ubat
katil-katil kusam dan oksigen bantuan hayat.

di daerahku
terhadir makhluk bersifat banyak ragamnya
pencandu buku
penyelak ilmu
ada sedar, tak kurang hanyut terus.
bermain kata kapur putih
pen
markah
kertas-kertas
bilik-bilik darjah dan sayap takdir muka hari.

kau aku
membina dua dunia
untuk kemanusiaan hari ini
esok juga mungkin.

ZULKIFLI BIN MOHAMED
Kemaman, Darul Iman
22 November 2007.

Sabtu, Jun 20, 2009

SERING KAU TANYAKAN


SERING KAU TANYAKAN


( i )
sering kau tanyakan
"bagaimanakah cintaku untukmu ?".

( ii )
seperti gula dan garam
yang tersimpan di dapur
mencukupkan rasa di lidah kita
selengkapnya nyaman pagi
dan ke akhirnya malam.

seperti gurau senda anak-anak
berlarian dan bergantungan di kakiku ini
meriangkan udara keliling
setawa sesedu dari hari
bergantian tahunan waktu.

( iii )
"demikianlah cintaku ini
tiada keraguan lagi untuk itu".
(sering kau tanyakan
dalam hari-hari yang terlepas di hatimu itu).

ZULKIFLI BIN MOHAMED
Kemaman, Darul Iman
21 November 2007.

Sabtu, Mei 16, 2009

PUTERAKU


PUTERAKU

(anakandaku, Imran Nur Ali)

( i )
dunia kandungan di perut bondamu
telah berakhir untuk hari ini, puteraku.
janji-janji yang kau terimai
tentang setiap rezeki, ajal dan maut
telah tertulis
sebelum teriak pertamamu ini, puteraku.
bentangan lorong dan liku hidupmu
hanya dua pilihan muktamad
pilihlah yang memberati kananmu, puteraku.

( ii )
ayahanda dan bonda selalu bersamamu
selagi diizinkan melihat bintang bulan.

ZULKIFLI BIN MOHAMED
Durian Guling, Darul Iman
17 Oktober 2004.

Sabtu, Mei 09, 2009

PUTERIKU


PUTERIKU

(anakandaku, Wardina Sahira)

dalam dirimu
terbina aliran sungai darah
dari dua muara kasih
menjadi satu lautan madu.

dalam perjalanan harimu
terbawakan cinta anugerahNya
dari dua watak manusia
menjadi satu harapan baru.

puteriku
menapaklah dengan kehalusan
namamu itu
seharusnya, menjadi pemikat setiap hati.

ZULKIFLI BIN MOHAMED
Durian Guling, Darul Iman
03 November 2003.

Ahad, Mei 03, 2009

RESTU


RESTU


bonda
hari ini, aku harus
belajar mencintai
dua wanita
dengan satu jalan.

moga bonda
mengajarkan aku
jalan yang satu ini.

ZULKIFLI BIN MOHAMED
Durian Guling, Darul Iman
12 September 2001.

Ahad, April 26, 2009

SEKEPING CERMIN DALAM RUMAH HIDUP


SEKEPING CERMIN DALAM RUMAH HIDUP


seorang isteri
adalah sekeping cermin
dalam rumah hidup.

di hadapannya hadir anak-anak
dari cinta yang ranum
mengarcakan pertarungan nafas hidup
dalam tangan-tangan hari yang kasar.
di hadapannya hadir manusia-manusia sasau
dari rasuk yang setan
menguji panah-panah berapi
dalam tangan-tangan hari yang kasar.

hari ini, esok dan hari-hari
yang tiada kelihatan
jangan dicalarkan
sekeping cermin dalam rumah hidup ini.

ZULKIFLI BIN MOHAMED
Bentong, Darul Makmur
25 Disember 1999.

HAK CIPTA TERPELIHARA ZULKIFLI BIN MOHAMED

Hak cipta terpelihara ke atas semua karya yang termuat di dalam laman blog ini. Semua hasil karya ditulis dan dihasilkan sendiri oleh penulis laman blog ini, Zulkifli bin Mohamed. Tidak dibenarkan mengeluar, mengambil, menciplak atau mengulang mana-mana karya yang terkandung dalam laman blog ini dalam apa juga bentuk dan cara - sama ada secara elektronik, fotokopi dan sebagainya tanpa mendapat izin bertulis daripada penulis.

PUISI PALING BANYAK BACAANNYA OLEH UMUM