HANYIR SEBUAH KOTA LUMPUR
seorang lelaki yang saban malam menggagahi setiap kelangkang nafsu
dari setiap sundal dari kamar bertilamkan syurga ringgit yang pahit
telah tertangkap dalam cahaya lensa seorang pemburu berita sensasi
berwajahkan jurnalis masyarakat (kononnya), memotretkan sugul
seorang lelaki yang kalah oleh sebuah akhbar - cerita dirinya telah dijual
seharga ringgit Malaysia sahaja (maka lacurlah seluruh nafsunya yang semalam).
seorang perempuan yang saban malam bermimpikan cinta fantasi
dari setiap perosak gadis dari setiap yang asalnya Adam tetapi telah terlupakan ibu dan adik perempuan mereka sendiri
telah dikotorkan lagi oleh penegak undang-undang yang dibayar tugasnya
dibawa lari dalam sebuah
'black maria' yang akhirnya kita tiada tahu tamat ceritanya di mana.
esoknya, dalam taman di hujung bangku paling jauh
sepasang monyet belasan tahun membaca kisah seorang lelaki yang bukan lagi Adam sejak malam tadi
juga kisah seorang perempuan yang bukan layak diceritakan dengan harga segelas air
sambil ketawa dengan galak yang hampir gila.
ZULKIFLI BIN MOHAMEDChukai, Darul Iman21 Oktober 2009.