Memaparkan catatan dengan label Manusia. Papar semua catatan
Memaparkan catatan dengan label Manusia. Papar semua catatan

Sabtu, Februari 19, 2011

BUNGA DI KUBURAN HATI


BUNGA DI KUBURAN HATI

sunyi
terpisah antara dua ruang
talkin telah berakhir
tujuh langkah telah beredar
sekuntum bunga
di hujungan ranting
gugur
menemani merah tanah.

ada seketul hati
menyembunyikan wajahnya.

ZULKIFLI BIN MOHAMED
Kemaman, Darul Iman
13 Mac 2010.

Sabtu, Januari 22, 2011

BEBAS


BEBAS

jauhkah sudah langkah-langkah yang diatur olehmu
atau sekadar melupakan jejak-jejak yang gagal diingati kembali
bundar dunia mungkin satu teori
kerana kita sendiri belum diizinkan melihat dari ruang yang lebih tinggi
hari ini kita tetap melangkah
semakin jauh dari apa yang sering kita mulakan dahulu
masih kembalikah ke pangkuan ibu yang semakin diratah waktu
masih pulangkah ke rumah warisan yang semakin condong tiangnya
atau cukup kita berkata : "setelah aku dikeluarkan dari rahim yang dahulu, aku bebas".

pandanglah dalam-dalam ke cermin di hadapanmu
lihatlah dalam-dalam tentang dirimu itu
benarkah kata-katamu itu : "aku bebas".

jawablah saat sebelum tidurmu malam ini.

ZULKIFLI BIN MOHAMED
Chukai, Darul Iman
16 Februari 2010.

Khamis, Januari 20, 2011

TARIAN HIDUP


TARIAN HIDUP

lupakah kaki pada lantai ini
memijak butir-butir kenangan
berbekas dan hilang.
seorang manusia
hebat ketika diberikan nyawa
buruknya cuma, saat melupakan
pinjaman itu harus terbayar.

ZULKIFLI BIN MOHAMED
Kemaman, Darul Iman
15 Februari 2010.

HAK CIPTA TERPELIHARA ZULKIFLI BIN MOHAMED

Hak cipta terpelihara ke atas semua karya yang termuat di dalam laman blog ini. Semua hasil karya ditulis dan dihasilkan sendiri oleh penulis laman blog ini, Zulkifli bin Mohamed. Tidak dibenarkan mengeluar, mengambil, menciplak atau mengulang mana-mana karya yang terkandung dalam laman blog ini dalam apa juga bentuk dan cara - sama ada secara elektronik, fotokopi dan sebagainya tanpa mendapat izin bertulis daripada penulis.

PUISI PALING BANYAK BACAANNYA OLEH UMUM