Memaparkan catatan dengan label Kepala Siapa Berdarah. Papar semua catatan
Memaparkan catatan dengan label Kepala Siapa Berdarah. Papar semua catatan

Jumaat, Mei 17, 2013

CERITA LAMPU JALAN  DAN SATU DAERAH NAMANYA PENDANG

Hasil gambar untuk lampu jalan malam
   
CERITA LAMPU JALAN  DAN SATU DAERAH NAMANYA PENDANG

ini malam
calon Yang Berhormat masuk berita
laporan tentang lampu jalan
berdiri tegak berkilat
hasrat penduduk katanya tertunai sudah.

esok malam
masuk berita lagi
calon ini tertewas jua.

ZULKIFLI BIN MOHAMED
Kemaman, Darul Iman
04 - 05 Mei 2013.

Sabtu, Jun 02, 2012

WWW


WWW


ada wang
semua jalan
betul lagi hebat
ada wang
tunjuk-tunjukkan.

tiada wang
diam-diam
tiada wang
suara anda
siapa ambil peduli.

ZULKIFLI BIN MOHAMED
Chukai, Darul Iman
30 Mei 2012.

Isnin, Mac 19, 2012

KUALA LUMPUR

Hasil gambar untuk kuala lumpur hitam putih


KUALA LUMPUR
(setelah 11 tahun, aku kembali jejak ke sini)

/1/ hotel lima bintang
bertapak masuk, di pintunya iras manusia Nepal
maju ke meja daftar masuk, gadis manis berbicara Inggeris
aku belasah Bahasa Melayu (peduli apa aku, ini bukan tanah jajahan)
aku pun bayar RM417.60 satu malam, darab 3 malam
banyak tu !, bayar mahal, aku nak berbahasa Melayu (suka hati akulah).

/2/ Aquaria KLCC
pengawal yang legar di kaki lima masih iras manusia Nepal
bayar lagi RM99.00 satu keluarga masuk
pusing-pusing semua ikan
selain ikan, dalamnya pun manusia iras Nepal
lihat baju memang dibayar sebagai pengawal keselamatan
aku tanya bahasa Melayu
bahasa tangan pulak dia jawab
oh Malaysia ku !.

/3/ hotel lima bintang
rehat-rehat di ruang lobi
yang keluar lif semua hidung mancung-mancung
serupa Arab pun ramai sekali
(aku di Malaysiakah sekarang ?).

/4/aktiviti makan-makan
masuk Medan Selera, ramainya manusia
pesanan sampai, makan, sila kira
tapi kenapa slanganya begitu ?
ini Jawa Selangor atau Indonesia ni ?

/5/empat hari tiga malam
selamat tinggal Kuala Lumpur
ibu kota Malaysiaku
apa ceritanya 11 tahun akan datang ?

ZULKIFLI BIN MOHAMED
Tingkat 29, Sunway Putra Hotel
Kuala Lumpur
12 - 15 Mac 2012.

Sabtu, November 12, 2011

JIKA KITA MASIH MANUSIA


JIKA KITA MASIH MANUSIA

(i)
jika bercakap tentang esok
hasilnya dari hari ini
kenapa masih ramai ketololan otaknya
memberi makna untuk songsangnya hidup.

(ii)
jika esok
anak-anakmu
bernoda dengan seks sejenis
bernoda dengan segala kesongsangan
siapakah lagi layak dinamakan manusia ?

ZULKIFLI BIN MOHAMED
Chukai, Darul Iman
03 November 2011.

Jumaat, September 09, 2011

ANAK-ANAKKU, BAPAMU INI TELAH GAGAL


ANAK-ANAKKU, BAPAMU INI TELAH GAGAL
(mari kita belajar Sejarah Malaysia yang tidak pernah dijajah ini)

(i)
anak-anakku
sama ada anak-anak kandungku
atau anak-anak pelajarku
bapamu ini telah gagal biarpun
telah menyelesaikan latihan ilmiah
gurumu ini telah gagal biarpun
telah memberikan titisan ilmu.

(ii)
Profesor Datuk
saya hanya memikirkan beberapa perkara
jika membaca tulisan ini
jawablah untuk anak-anak saya
juga untuk anak-anak pelajar saya
"jika Tanah Melayu tiada pernah dijajah
maka kenapa saya diajarkan tentang
Rombongan Merdeka 1956, tentang
Perjanjian London 1956, tentang
Suruhanjaya Reid 1956, tentang
Perlembagaan Merdeka 1956, tentang
Pemasyhuran Kemerdekaan 1957, tentang
turunnya bendera Union Jack malam 30 Ogos 1957, tentang
naiknya bendera Persekutuan Tanah Melayu pada malam yang sama ?".

(iii)
Tanah Melayu
kemudian Malaysia ku
kita hanya menyambut sambutan kemerdekaan palsukah pada setiap
31 Ogos saban tahun ?.

ZULKIFLI BIN MOHAMED
Chukai. Darul Iman
09 September 2011.

Khamis, Julai 07, 2011

BAHASA KITA


BAHASA KITA
(baca bersama ruangan Sastera dalam BERITA HARIAN hari ini, 07 Julai 2011)

terima kasih Dr. Collins
belajar bahasa kami
bertutur bahasa kami
menegur tentang bahasa kami.

malunya aku ini
melihat dasar kepimpinan kami
tentang bahasa Melayu kami ini.

malunya aku ini
bila politikus kami
tanpa segan berbahasa Inggeris fasih
melebihi bahasa ibuanda sendiri
saat berkomentar dalam berita-berita
berbahasa kami.

ZULKIFLI BIN MOHAMED
Kemaman, Darul Iman
07 Julai 2011.

Rabu, Jun 29, 2011

DONGENG KADUK


DONGENG KADUK

(i)
dalam dongeng Melayu
Pak Kaduk malang sekali
silap pilih baju
berbogel akhirnya
dan kampungnya tergadai.

(ii)
hari ini
ada berkira-kira
baju mereka - kuningkah ?, merahkan ?
masing-masing bersuara
masing-masing berhujah.

(iii)
janganlah dongeng Melayu lama itu
menguntungkan bukan orang kita.

ZULKIFLI BIN MOHAMED
Kemaman, Darul Iman
29 Jun 2011.

Jumaat, Januari 14, 2011

INTERLOK


INTERLOK
(YB mari masuk kelas Sejarah)

manusia bercakap
kerana mulutnya mampu
banyak bercakap tapi ilmunya tiada.

Sejarah lalu
bagaimanakah YB ingin menafikannya !

ZULKIFLI BIN MOHAMED
Kemaman, Darul
07 Januari 2011.

Selasa, November 02, 2010

TUJUH TAHUN


TUJUH TAHUN

(i)
tujuh tahun
hukuman kepada manusia yang membakar dan melupuskan
seorang jutawan.

(ii)
tujuh tahun
hukuman kepada manusia yang membawa mercun ke Piala Malaysia
2010.

(iii)
aku rasa mereka
yang membina undang-undang
harus tujuh tahun lagi membaca buku-buku mereka.

ZULKIFLI BIN MOHAMED
Kemaman, Darul Iman
01 November 2010.

Rabu, September 29, 2010

KONTRAS


KONTRAS

anak-anakku, rapat sedikit papa nak pesan baik-baik
"jangan sukakan kartun lebih-lebih"
"lukis kartun jangan sekali"
"nanti boleh masuk ke tahanan sel"
"papa juga yang susah".

anak-anakku, lagi rapat papa nak pesan baik-baik
"kalau pandai teknologi maklumat papa tak marah"
"kalau boleh tunjukkan kepakaran itu untuk semua bangsa bumi"
"kalau ada yang marah-marah"
"nanti pak polisi tolong iringi kamu untuk jayakan siri jelajahmu".

anak-anakku, pergilah main dan jangan lupa pesanan-pesanan papamu ini.

ZULKIFLI BIN MOHAMED
Geliga, Darul Iman
29 September 2010.

Selasa, Ogos 03, 2010

BOLOS DARI DINDING


BOLOS DARI DINDING

ini bukan lawak di kaca berbayar
ini seperti jatuh kemaluan dari tempatnya
bolos lagi
dalam waktu berturutan hanya selang dua
kalendar masihi
dua menteri kanan dalam nada serupa
memberi kata-kata beramaran
tapi dinding tetap menyembunyikan
wajah di dalamnya.

ZULKIFLI BIN MOHAMED
Chukai, Darul Iman
02 Ogos 2010.

Rabu, Februari 03, 2010

SEKS DI KAMAR SUCI


SEKS DI KAMAR SUCI

hitam pekat
bukan rahsia lagi
manusia lapar memenuhi kamar suci
mari kita ceritakan seks di hadapan umum
dosa pahala
benar dusta
barangkali bukan urusan manusia.

Tuhan
petang ini cerita seks
mampu melariskan setiap akhbar.

ZULKIFLI BIN MOHAMED
Chukai, Darul Iman
03 Februari 2010.

Selasa, Disember 22, 2009

50 JUTA


5o JUTA

itu harga
sebuah enjin
yang memukul sehebat imej.

harga itu
enjin sahaja
yang memanaskan debat kopi.

ZULKIFLI BIN MOHAMED
Kuantan, Darul Makmur
19 Disember 2009.

Selasa, Oktober 13, 2009

PENJILAT


PENJILAT


tanpa silu saudara
jawab soalan ini
"pernah merasuah ?"
"pernah dimalukan ?"
"pernah rasa terpinggir ?"
"pernah dijatuhi hukum ?".

tahniah saudara
anda selayaknya
mewakili kami
penjilat maruah bangsa !.

ZULKIFLI BIN MOHAMED
Kerteh, Darul Iman
12 Oktober 2009.

Sabtu, Oktober 10, 2009

EGM


EGM

(Engkau-Engkau Gagal Memancing)

malam-malam
sebelumnya
ada majlis makan-makan
sini satu
sana satu
yang datang
tetap ramai.

tadi pagi
suara-suara yang mahu
dipancing
terkurang undi
sini tersungkur
sana tersungkur
di mana si pengampu ?.

malam ini
sudah ada sana sini
bermimpikan kuasa.

ZULKIFLI BIN MOHAMED
Chukai, Darul Iman
10 Oktober 2009.

Rabu, Oktober 07, 2009

RM SATU RIBU


RM SATU RIBU


ada di luar sana
mahu rm satu ribu
tanpa tunggu hujung bulan ?.

bawakan satu gambar.

ZULKIFLI BIN MOHAMED
Kemaman, Darul Iman
07 Oktober 2009.

Rabu, September 30, 2009

KUASA ( ii )


KUASA ( ii )


( i )
dengan tegas dia berkata
"bersih pun boleh kalah"
"kotor pun boleh menang"
"benar saya pernah disingkir"
"hanya kerana suarakan pendapat ramai"
"saya dan dia tiada persamaan"
"rakyat menolak rasuah dan nepotisme".

( ii )
yang seorang lagi berkata
"dia dekat dengan masyarakat di sini"
"di sini semua mahukannya".

( iii )
dia yang dimahukan semua itu pun berkata-kata
"saya telah menjalani hukuman".

( iv )
yang lain juga ingin berkata-kata
"sudah habis oksigenkah ?"
"?".

ZULKIFLI BIN MOHAMED
Kemaman, Darul Iman
29 September 2009.

Sabtu, September 12, 2009

KUASA


KUASA


seorang Melayu yang telah menanggalkan baju kalis pelurunya
masih kedengaran suara-suaranya
tanpa peduli sahabat lawan
tiba-tiba dirakam cakapnya dalam bahasa Tamil
dan memurkakan seorang India yang baju kalis pelurunya hampir tamat tempoh.

dengan murkanya dia berkata
"dia seorang yang berseni dalam memusnahkan setiap Timbalannya"
"dia sudah ada empat Timbalan"
"tapi saya hanya ada satu Timbalan".

dengan segera dia yang seorang lagi berkata
"dia telah pecahkan satu kekuatan menjadi lapan"
"dia telah bohong kepada saya"
"dia menafikan bantuan saya untuk bangsanya".

ZULKIFLI BIN MOHAMED
Kemaman, Darul Iman
12 September 2009.

Selasa, September 01, 2009

HADIAH PERTAMA


HADIAH PERTAMA


aku anak Malaysia
aku bangga menyambut 52
angka kemerdekaan malam tadi
dalam saat serupa itu
aku dihadiahi petrol RON95
mesti beli tunai RM 1.80 seliter
(dalam hati selaut sumpah - harga naik, mutu turun !)
jika aku berduit
teruskan isi tangki dengan RON97
kerana harga cuma RM2.05 seliter
(itu kata mereka yang main politik, tetap bandingkan dengan harga di negara orang !)
negaraku - Malaysia tak ada petrolkah ?.

ZULKIFLI BIN MOHAMED
Kemaman, Darul Iman
31 Ogos 2009.

Ahad, Ogos 30, 2009

SALAM MERDEKA UNTUK ANAK-ANAK BANGSA


SALAM MERDEKA UNTUK ANAK-ANAK BANGSA


( i )
prolog :
kata-kata Arthur Kenion
(ahli Majlis Mesyuarat Persekutuan 1915)
"Awak boleh mengajar orang-orang Melayu awak itu supaya mereka tinggal terus di sawah-sawah padi dan supaya mereka tidak hilang kemahiran dan kesenian dalam kerja-kerja menangkap ikan dan kerja-kerja hutan. Ajarkan mereka supaya memuliakan kerja buruh, supaya tidak semua mereka menjadi kerani, dan saya yakin awak tidak akan menghadapi kekacauan seperti yang terjadi di India akibat pendidikan yang berlebihan".

( ii )
lantas suara penjajah itu telah pun tertulis dalam laman
yang kita istilahkan sejarah penjajahan
detik 31 yang kita junjungi kembali dalam Ogos yang makin kemaruk
anak-anak bangsa yang merdeka bebas
semakin maju ilmunya
semakin tidak jejak jati dirinya
malam-malam yang meriah bertemakan kebangsaan yang kemaruk
hanyut lecur dengan tin-tin mabuk
bertindihan di bilik-bilik gelap
menzuriatkan anak-anak tanpa bin dan binti yang tidak pasti ayahnya siapa
dan lagu kebangsaan digantikan lagu sendu perawan punah.

wahai anak-anak bangsa yang kononnya
membaca dan mengenali setiap abjad yang dibunyikan sebagai
KEMERDEKAAN
hanya angka sambutan kita bilangkan bersama setiap Ogos ini
penjajahan baru yang tidak tersekat bendungnya
meracaukan jiwa-jiwa dan hati-hati yang muda dengan nafsu
penjajahan datang dalam wajah-wajah yang lebih buruk sifatnya
yang tertewaskan oleh globalisasi
yang tertewaskan oleh neokolonialisme
yang tertewaskan oleh jalur lebar
yang tertewaskan oleh kelobaan politikus.

ZULKIFLI BIN MOHAMED
Kemaman, Darul Iman
30 Ogos 2009.

HAK CIPTA TERPELIHARA ZULKIFLI BIN MOHAMED

Hak cipta terpelihara ke atas semua karya yang termuat di dalam laman blog ini. Semua hasil karya ditulis dan dihasilkan sendiri oleh penulis laman blog ini, Zulkifli bin Mohamed. Tidak dibenarkan mengeluar, mengambil, menciplak atau mengulang mana-mana karya yang terkandung dalam laman blog ini dalam apa juga bentuk dan cara - sama ada secara elektronik, fotokopi dan sebagainya tanpa mendapat izin bertulis daripada penulis.

PUISI PALING BANYAK BACAANNYA OLEH UMUM