Memaparkan catatan dengan label Janji Itulah. Papar semua catatan
Memaparkan catatan dengan label Janji Itulah. Papar semua catatan

Isnin, Jun 01, 2009

SETELAH MAJLIS


SETELAH MAJLIS

hari ini seorang ayah
telah merasai
dia menyempurnakan
hidup anak perempuannya
(setelah dinikahi seorang lelaki
pilihan anaknya itu).

benarkah demikian ?
sedang si anak
belum pun melangkah masuk
ke rumah si lelaki itu.

ZULKIFLI BIN MOHAMED
Kemaman, Darul Iman
16 Disember 2005.

Sabtu, April 04, 2009

MENJADI WANITA


MENJADI WANITA

(untuk perkahwinan rakan sejawat, Nurzaini Abdullah)

( i )
setelah
bersendirian berlarian
di dataran terbuka
hari ini
seorang perempuan
bersyukur menemui
bahagianya menjadi wanita.

( ii )
ketibaan esoknya
bermula dengan satu lamaran
bersedialah
memijakkan kaki
pada setiap kerikil.

ZULKIFLI MOHAMED
Lurah Bilut, Darul Makmur
12 September 1997.

Isnin, Mac 30, 2009

JANJI ITULAH


JANJI ITULAH


digetusnya dedaun perang
pada saat ini, kelmarinnya ada getah merah
mengering di jejari halus.
biar bersungguh ia menyembunyikan
wajah hati berparut jadam, pahit segala.
sekilas kerdip cahaya songsang
tumbuh bebayang kesakitan, serba gerun
di kaca calar dan retak melintang
semakin bergelap dari cahaya
bertambah sulit nafasnya, berbaur serba
kenangan - ketika manisnya menipis pergi
terjenguk wajah-wajah sinis
tersenyum, senyum yang sinis !

dedaun perang digetusnya
satu, dua melayah tanah
yang jarang-jarang rumputnya
memecah deretan semut-semut hitam.
- janji itulah
mesra rayu itulah
kekuatan lelaki kelemahan buatnya.
dan saat matanya tiba di deretan
semut-semut hitam yang tiada sukar
melepasi daun-daun perang di hujung kakinya
sebak hati kian membesarkan kekesalan, dialah
dedaun itu - digetus dengan janji
mesra dan rayu seorang lelaki.

ZULKIFLI MOHAMED
Bangi, Darul Ehsan
24 - 26 Februari 1996.

HAK CIPTA TERPELIHARA ZULKIFLI BIN MOHAMED

Hak cipta terpelihara ke atas semua karya yang termuat di dalam laman blog ini. Semua hasil karya ditulis dan dihasilkan sendiri oleh penulis laman blog ini, Zulkifli bin Mohamed. Tidak dibenarkan mengeluar, mengambil, menciplak atau mengulang mana-mana karya yang terkandung dalam laman blog ini dalam apa juga bentuk dan cara - sama ada secara elektronik, fotokopi dan sebagainya tanpa mendapat izin bertulis daripada penulis.

PUISI PALING BANYAK BACAANNYA OLEH UMUM