Memaparkan catatan dengan label Manusia Musafir. Papar semua catatan
Memaparkan catatan dengan label Manusia Musafir. Papar semua catatan

Jumaat, Jun 26, 2009

BUKAN SATU JALAN


BUKAN SATU JALAN


ke hadapan disuratkan terbaik
terpatah kembali disiratkan kalah.
tangga-tangga keras di kaki
tersilap tafsir luka berdarah.

dalam malu mata melihat
jangan lupa mengutip maruah.
ke perhentian agung
bukan satu jalan, tentu.

ZULKIFLI BIN MOHAMED
Kemaman, Darul Iman
19 Mac 2008.

Selasa, Jun 02, 2009

SEPANJANG LIKU


SEPANJANG LIKU

( i )
duri-duri di sepanjang
liku hidupku ini perit menyakitkan
menusuk ke dalam, pedih sekali.
kucabut satu persatu
kuhimpun di dalam dulang kesabaran.
aku merasainya sungguh
lebih dari itu.

( ii )
akhirnya, kemanisan ini tiba
aku mengerti kerana semuanya
kerana duri-duri di sepanjang liku yang dilalui
tiada terbayar untuk kunikmatinya.

ZULKIFLI BIN MOHAMED
Kemaman, Darul Iman
17 Disember 2005.

Isnin, Mei 18, 2009

SELAMAT TINGGAL


SELAMAT TINGGAL

(Disember 1996 - Disember 2004)

selamat tinggal Darul Makmur
bumi terbilang pahlawan Melayu
Bahaman, Tok Gajah, Mat Kilau
aku merasainya setiap kali melalui
Lubuk Terua
melihat kuning air Sungai Semantan
masih hijau setiap ceritamu.

selamat tinggal Lurah Bilut
bumi Felda tua, warisan generasi ketiga
bau getah kilangmu, aku akan merinduinya
terima kasih Ustaz Othman
mengajari ilmu gurumu
terima kasih Pak Su
menjamu durian kampungmu.

selamat tinggal Karak
pekan kecil
diadun warna-warni kaummu
terima kasih Cikgu Kamarul
mengajari ikatan sahabat
terima kasih Cikgu Vong
menyakinkan aku, agama bukan isunya.

ZULKIFLI BIN MOHAMED
Perumahan Lot 144, Darul Iman
31 Disember 2004.

Isnin, Mac 30, 2009

MANUSIA MUSAFIR


MANUSIA MUSAFIR


antara resah dan harapan
hari ini aku pergi lagi
sebagai musafir.
terima kasih kerana kasihmu ibu
terus mendindingkan kesabaran
untuk kuulangi kepergian ini.

antara jarak dan waktu
ku hadap penuh hiba
kerana dewasa tidak bertempat.
langit dan udara
tetap berubah
kerana akulah lelaki musafir
untuk membina hidup yang payah.

berulang pergi begini
membesarkan aku pengalaman baru
dunia lelaki
dunia musafir.

sekuat mana mampu
ku teruskan.

ZULKIFLI MOHAMED
Kuala Krai, Darul Naim
04 Disember 1995.

Khamis, Mac 26, 2009

DIRI YANG DAHULU JUGA


DIRI YANG DAHULU JUGA


mendepani cermin persegi kaku
sebesar wajah yang dahulu
ada isyarat di arca, diri yang dahulu juga.
sebahagian usia telah pergi
terbawakan oleh waktu, tiada tertahankan.

pada arca, diri yang dahulu juga
seharusnya rasa malu ini
mendahului waktu yang pergi
sejauh usia yang telah dipinjamkan.

itulah ketuaan diriku.

ZULKIFLI MOHAMED
Bangi, Darul Ehsan
04 April 1994.

HAK CIPTA TERPELIHARA ZULKIFLI BIN MOHAMED

Hak cipta terpelihara ke atas semua karya yang termuat di dalam laman blog ini. Semua hasil karya ditulis dan dihasilkan sendiri oleh penulis laman blog ini, Zulkifli bin Mohamed. Tidak dibenarkan mengeluar, mengambil, menciplak atau mengulang mana-mana karya yang terkandung dalam laman blog ini dalam apa juga bentuk dan cara - sama ada secara elektronik, fotokopi dan sebagainya tanpa mendapat izin bertulis daripada penulis.

PUISI PALING BANYAK BACAANNYA OLEH UMUM