Memaparkan catatan dengan label Menulis Dengan Alam. Papar semua catatan
Memaparkan catatan dengan label Menulis Dengan Alam. Papar semua catatan

Sabtu, September 03, 2011

DERU OMBAK


DERU OMBAK

bahasamu tersendiri
membiru dan damai
menghijau dan keras
berulang rapat ke tepian
berulang pergi ke laut lepas.

ZULKIFLI BIN MOHAMED
Kuala Terengganu, Darul Iman
30 Ogos 2011.

Jumaat, Januari 29, 2010

GELOMBANG


GELOMBANG

( i )
kuat
hempas
terpecah-pecah.

( ii )
sakit
pedih
bersatu.

( iii )
aku
tewas.

( iv )
kau
gelombangnya.

ZULKIFLI BIN MOHAMED
Kemaman, Terengganu
29 Januari 2010.

Jumaat, November 27, 2009

DALAM MALIS SENJA


DALAM MALIS SENJA


( i )
malis senja tiada tertahan lagi
dirayu waktu pergi tak terucapkan
gelap malam kudakap kukuh, jangan pergi
biar hitam - cahaya dari lorong hati membelah
titik demi titik.

( ii )
malis senja, ronamu terlukis
kekal di hati manira.

ZULKIFLI BIN MOHAMED
Chukai, Darul Iman
27 November 2009.

Rabu, Oktober 28, 2009

OMBAK, AKU HARUS PERGI


OMBAK, AKU HARUS PERGI

peta perjalanan terlalu luas untuk dibaca utara dan selatannya
ragam angin bertalu-talu mematahkan harapan yang berpintalan
antara layar mimpi sang nahkoda yang diratah saban detik dalam
lambungan rusuk ganas dan kasar ombak yang dikirim tenggara angin
cukuplah, hari ini aku harus pergi - kita tetap sahabat wahai ganas ombak
liburan waktu tiada tercukupkan seluruhnya tanpa permainan yang tertulis
hadapan sana aku merindui perbaringan penuh di atas sekeping tanah berbau
mesra - dibelai hebat si tangan bayu yang terlepas antara pelangi petang dari hujung
paling jauh, langit yang dibumbungi kepala sang nahkoda yang pernah dikelirukan senja.

ZULKIFLI BIN MOHAMED
Chukai, Darul Iman
28 Oktober 2009.

Ahad, Oktober 11, 2009

JEJAK


JEJAK


tepian ombak
membisikkan angin rindu
dari dermaga silam
wahai si pelaut
di mana kompas cintamu
tewaskah oleh biru horizon.

ZULKIFLI BIN MOHAMED
Chukai, Darul Iman
11 Oktober 2009.

Selasa, Julai 14, 2009

PUISI PELAUT


PUISI PELAUT

(untuk yang selalu mencintai ombak dan pantai, Rozais Al-Anamy)

pelaut mengukuri ruang
(aku bimbang katanya)
tepian lautmu tiada hujung
langit dan awanmu
selalu mendustai hari-hariku.

aku manusia bernyawa
berikan aku sehari lagi
untuk pulang
ada daratan yang lebih pasti
tolonglah aku
(kata pelaut berulang kali).

dan pelaut itu
hilang dalam angin mati.

ZULKIFLI BIN MOHAMED
Perumahan Lot 144, Darul Iman
19 Mei 2009.

Jumaat, Julai 10, 2009

DALAM SENJA YANG MATI


DALAM SENJA YANG MATI


dalam senja yang mati
tertinggal merah
merubah hitam tidak bertitik
biru yang kutafsirkan dari kaki lautan
ke kaki langit (dalam hari-hari yang membekas)
membunuh huruf-huruf lama
dalam diari diri yang hampir kubakar dengan
nafas luka.

dalam senja yang mati
tertinggal derita diri.

ZULKIFLI BIN MOHAMED
Kuala Terengganu, Darul Iman
09 September 2008.

Rabu, Jun 24, 2009

TANPA DENGAR


TANPA DENGAR


sapa ombak
"aku belai betingmu pantai, dengan putih ombakku
aku larikan cengkerang mati, bersih wajahmu dengan biru airku
aku tiada jemu bertandangan tanpa henti musim, tetap ke sini
aku tiada tercabar, arah mata angin tetap serupa bagiku".

bicara pantai
"kau selalu bohong, geloramu menyakitkan
kau melukakan, airmu tidak biru
kau tidak setia, selagi ada beting kau hadiri
kau terlalu angkuh, tanpa angin kau lesu".

ZULKIFLI BIN MOHAMED
Kemaman, Darul Iman
17 Disember 2007.

Khamis, Mei 28, 2009

RINDU RESAH


RINDU RESAH


rindu ini membulat seperti
bulan penuh
tumpah cahayanya
di balik jendela retak.

resah ini merata seperti
bintang sinar
berulang kali kiraan
tiada serupa sifirnya.

ZULKIFLI BIN MOHAMED
Kemaman, Darul Iman
29 Oktober 2005.

Sabtu, Mei 16, 2009

SESUNGGUHNYA


SESUNGGUHNYA


bersama angin petang
kau bisikkan perasaanmu.
bersama pelangi petang
kau bicarakan sukma rasamu.
sesungguhnya
aku memahami setiap bahasamu itu.

ZULKIFLI BIN MOHAMED
Teluk Cempedak, Darul Makmur
01 Jun 2004.

Selasa, Mei 12, 2009

KHILAFNYA AKU


KHILAFNYA AKU


khilafnya aku
membaca penglihatan sendiri
melihat biru hijau lautmu
ingin kusentuhi
membadai ombakmu.

ZULKIFLI BIN MOHAMED
Kemaman, Darul Iman
04 Disember 2003.

Sabtu, April 25, 2009

DI GIGI OMBAK


DI GIGI OMBAK


mungkin kau tiada
pernah ke sini
meletakkan sepasang kakimu
di gigi ombak
menghirup masinnya udara
merasai getar angin di hujung rambut
membina kota-kota impianmu
melihat wajah sendiri
lalu pecah menjadi buih
berulang dan berulang.

mungkin akulah yang silap
tiada pernah
menceritakan cantiknya laut
tentang hasrat ombak
gigih mencari hamparan pasirnya
tentang kukuhnya batuan
membasahi diri
tentang hibanya perahu
tatkala rusuh tengkujuh
berulang dan berulang.

di gigi ombak
rintik hujan yang kasar
menguasai setiap ruang
segalanya menjadi keliru
ditutupi senja duka.

ZULKIFLI BIN MOHAMED
Kemaman, Darul Iman
27 November 1999.

Ahad, April 19, 2009

TOPDAL SEORANG MALIM


TOPDAL SEORANG MALIM


musim gelora yang padu, angin kacau
segilanya
daratan yang kutahu itu
semakin hilang dalam kompas.
semakin ke penghujung gelora
kemudi masih kujinakkan
suara camar laut, berulang mencabar
haluan kita (benarkah aku bertemankan kau ?).
musim yang keras ini
musim pelaut memburu telaga air
kontang, seluruhnya menjadi sesia.
( tiada terpatah kembali,
layar agung remuk
mendengar jerit laut lepas
berbalun halus ke batin, pedihnya ! ).

ZULKIFLI MOHAMED
Lurah Bilut, Darul Makmur
24 Mac - 25 Mac 1998.

Jumaat, April 10, 2009

KE SISI PANTAI


KE SISI PANTAI


subuh demi subuh
menyatu dinginnya.
jernih air
berkaca wajahnya.

ke sisi pantai
aku melihat batuan.
terpukul ombak memutih
hatiku ini terpukul sama.

ZULKIFLI MOHAMED
Lurah Bilut, Darul Makmur
22 Januari 1998.

Selasa, Mac 31, 2009

SENJA DUKA


SENJA DUKA


senja menceritakan duka
gelap malam merampas segala
mimpi pun tumbuh
aku menjadi burung
ingin menolak
pintu sangkar berbisakan buluh.

berulang mimpi
mahu terbang lepas
melihat biru laut
bertemu kerikil
pecahan ombak terasa menyakitkan.

ZULKIFLI MOHAMED
Lurah Bilut, Darul Makmur
28 April 1997.

Isnin, Mac 30, 2009

SESUDAH OMBAK


SESUDAH OMBAK


kerikil tetap tajam
memberikan lukanya
asin percik ombak
memberikan pedihnya.

bersatu di hatiku.

ZULKIFLI MOHAMED
Bangi, Darul Ehsan
03 Julai 1994.

HAK CIPTA TERPELIHARA ZULKIFLI BIN MOHAMED

Hak cipta terpelihara ke atas semua karya yang termuat di dalam laman blog ini. Semua hasil karya ditulis dan dihasilkan sendiri oleh penulis laman blog ini, Zulkifli bin Mohamed. Tidak dibenarkan mengeluar, mengambil, menciplak atau mengulang mana-mana karya yang terkandung dalam laman blog ini dalam apa juga bentuk dan cara - sama ada secara elektronik, fotokopi dan sebagainya tanpa mendapat izin bertulis daripada penulis.

PUISI PALING BANYAK BACAANNYA OLEH UMUM