Memaparkan catatan dengan label Selamat Hari Guru. Papar semua catatan
Memaparkan catatan dengan label Selamat Hari Guru. Papar semua catatan

Selasa, Oktober 06, 2009

PERTARUNGAN LIMA HARI


PERTARUNGAN LIMA HARI

(esok, selamat berjuang putera-puteri PMRku)

gelanggang dilimau sudah
peluk restu mahaguru
mengiringi sendeng yang kukuh
pasangi kuda-kudamu yang terhebat
mengerislah dengan tajam akal
usah terdusta bayang-bayang sendiri.

ZULKIFLI BIN MOHAMED
Binjai, Darul Iman
06 Oktober 2009.

Rabu, Jun 10, 2009

TETAP GURU YANG DAHULU


TETAP GURU YANG DAHULU

jika berubah
hanya
masa yang tiada
terulang lagi
itu sahaja.

guru masih
di dataran yang serupa
dilihat oleh banyak
mata.

perbezaannya hanyalah
tafsiran oleh mata itu.

ruang untuk berdiri
masih serupa.

pengalaman berubah
oleh cabaran
pelajar yang datang
dan pergi
berulang setiap
tahun yang baru.

guru
melihatmu
tetaplah manusia
pemberi.

jika diingati
jika dilupakan
jika dihargai
jika dipinggirkan
jika dimuliai
jika dilukakan.

tetap guru yang dahulu.

ZULKIFLI BIN MOHAMED
Perumahan Lot 144, Darul Iman
11 Mei 2007.

Jumaat, Mei 15, 2009

SELAMAT HARI GURU


SELAMAT HARI GURU


guru-guru tetaplah guru yang dahulu
menjadi tua dalam waktu yang panjang
tetap menemui pelajarnya
yang membesar di rumah yang berlainan
tetap bersama rakan-rakan sekerja
yang separuh daripadanya telah tewas
dalam diri sendiri.
tetap di depan pandangan masyarakat
yang terlalu mengharapkan apa yang terbaik
daripada manusia guru
yang tetap bersama kelemahan diri.
lemah oleh waktu yang panjang
lemah oleh kenakalan pelajarnya
lemah oleh masyarakat
yang banyak bercakap tentang kesempurnaan.

guru-guru tetaplah guru yang dahulu
menjadi tua dalam panjang waktu dilaluinya
tetap di bilik
yang dikongsikan bersama
tanpa keselesaan yang sama
seperti dinikmati
rakan-rakan seuniversitinya yang dahulu.
tetap dipanggil guru
kalaupun hanya sekadar panggilan
dibezakan waktu yang mengurangi rasa hormat
kepada manusia guru.
guru tetaplah guru
di mana berada
di mana sahaja
tanpa mati dalam waktunya yang panjang.

ZULKIFLI BIN MOHAMED
Bentong, Darul Makmur
31 Mei 2004.

Rabu, Mei 06, 2009

MELALUINYA, KITA TERTINGGAL SESUATU


MELALUINYA, KITA TERTINGGAL SESUATU

(terima kasih untuk setiap seorang guru-guruku yang telah memanusiakan diri ini)

daripada helaian buku-buku
tertinggal wajah-wajah guru kita
yang dahulunya mengajarkan
lebih daripada apa
yang kita bacai.

daripada bilik-bilik kelas yang berlainan
tertinggal wajah-wajah guru kita
yang dahulunya memarahi
lebih daripada apa
yang kita fahami.

ZULKIFLI BIN MOHAMED
Karak, Darul Makmur
15 Mei 2002.

Selasa, April 28, 2009

PUISI CIKGU KEPADA YANG MENJUMPAINYA


PUISI CIKGU KEPADA YANG MENJUMPAINYA


( i )
kalau ditanyai kenapa
seorang itu perlu jadi cikgu ?
ceritakanlah tentang,

( ii )
selamat pagi cikgu,
bila anak saya nak dapat buku teks ?
dibelek-belek ke dalam fail
borang SPBT anaknya tak kembalikan.

pagi cikgu,
kenapa surat ponteng dihantar kepada saya ?
disemak-semak ke dalam jadual kedatangan
tiga minggu anaknya tak hadir kelas.

cikgu, siapa ajar Bahasa Melayu ?
periksa akhir tahun tak lulus
sedang di rumah anaknya senang
baca komik.

( iii )
selamat tengah hari cikgu,
kenapa hujung-hujung minggu begini
adakan mesyuarat PIBG ?
tapi kalau jumpa selalu bisik
nak komputer, nak itu nak ini.

tengah hari cikgu,
saya gembira kelas tambahan selalu buat
tapi pelajarnya selalu tak penuh.

cikgu,
lambat lagi balik hari ini ?
yalah, mesyuarat dan mesyuarat
untuk anak-anak pakcik.

( iv )
selamat petang cikgu,
bila nak pakai kereta baru ?
tekan-tekan butang ATM
wang selalu habis buat fotokopi.

petang cikgu,
pagi sekolah, petang pun sekolah ?
rajin ya cikgu
habis buku rampaian siapa nak semak ?.

cikgu,
kenapa jadi cikgu ?
kerja kilang gajinya banyak
di sekolah anak pakcik
siapa nak ajar ?.

( v )
kalau ditanyai kenapa
seorang itu perlu jadi cikgu ?
katakanlah
aku boleh baca dan buat satu puisi.

ZULKIFLI BIN MOHAMED
Bentong, Darul Makmur
31 Disember 1999.

Isnin, April 06, 2009

PEPERANGAN DIRI


PEPERANGAN DIRI

(dedikasi buat pelajar-pelajar sulungku, di SMK. Lurah Bilut 28800 Bentong, Pahang; 1997)

( i )
ke mari ke sini
kita bersatu membawa harap.
harap seorang ibu
harap seorang ayah
harap seorang pentadbir
harap sebuah organisasi
harap sebuah masyarakat
harap sebuah negara.
(kita pun menjadi letih
oleh terlalu banyak harapan.
kejaran masa menakutkan tidur
kalau-kalau terserpih
menjadi mimpi cuma).

( ii )
lebih dari itu
sejujurnya sebagai aku
hiduplah kalian
sebagai manusia waras
setelah mengatasi setiap harap.
jika terserpih juga
seisi kehidupan masih memerlukan kalian.

( iii )
sebenarnya, kita saling berperang
di luar diri
di dalam diri.

ZULKIFLI MOHAMED
Lurah Bilut, Darul Makmur
30 Oktober 1997.

Isnin, Mac 30, 2009

INGATAN ( ii )


INGATAN ( ii )
(dedikasi buat teman-teman Kursus Perguruan Lepasan Ijazah Pengajian Sejarah Ambilan Januari 1996)

( i )
sering, kita melakar-lakar
nama sendiri
di dada kertas
kekadangnya, mengabjad dan mengimpikan
segala.

telah terlalu sarat
kita diselubungi teori.
membaca fikiran manusia
tentang politik dan sosio-ekonomi
hampir klise
bukan ?

kerap juga, kita
cuba cara sendiri-sendiri
menguji dan mengukur
disiplin sains politik
sejarah dan pentadbiran awam.
di manakah kita
sebenarnya ?

kekadang buntu
hampir lupa juga, bahawa
kita saling membina
setiap sudut ilmu
di daerah sekecil ini.

( ii )
kitalah pelajar
kitalah guru
teruskan membentuk
nama sendiri.

ZULKIFLI MOHAMED
Jitra, Darul Aman - Bentong, Darul Makmur
31 Disember 1996.

HAK CIPTA TERPELIHARA ZULKIFLI BIN MOHAMED

Hak cipta terpelihara ke atas semua karya yang termuat di dalam laman blog ini. Semua hasil karya ditulis dan dihasilkan sendiri oleh penulis laman blog ini, Zulkifli bin Mohamed. Tidak dibenarkan mengeluar, mengambil, menciplak atau mengulang mana-mana karya yang terkandung dalam laman blog ini dalam apa juga bentuk dan cara - sama ada secara elektronik, fotokopi dan sebagainya tanpa mendapat izin bertulis daripada penulis.

PUISI PALING BANYAK BACAANNYA OLEH UMUM