Memaparkan catatan dengan label Atlas Negeri. Papar semua catatan
Memaparkan catatan dengan label Atlas Negeri. Papar semua catatan

Sabtu, Oktober 24, 2009

PUISI UNTUK IB


PUISI UNTUK IB
(puisi untuk saudara Ibrahim Ali)

aturan langkah berpaksikan upaya sepasang kaki
aturan sahabat bersalaman tanpa berhelah di belakang
aturan kuasa berpautkan sokongan berbalutkan amanah
aturan mulut berkuncikan tajamnya buah akal.

jangan semalam jaya ke seberang
mungkin esok belum melompat
tersandung rebah sendirian
aturan alam selalu menghukum.

ZULKIFLI BIN MOHAMED
Kemaman, Darul Iman
22 Oktober 2009.

Sabtu, September 05, 2009

HIKAYAT PANTAI TIMUR


HIKAYAT PANTAI TIMUR

seorang mantan masih bertaring
seorang pengemudi negeri ditikam belakang
sebuah negeri tetap tidak menjadi dua.

orang nombor dua hadirkan diri
sambutan dingin dialun gelora ombak
sebuah organisasi nasional tetap tidak menjadi dua.

seorang pakcik sambil menghirup kopi bertanya dengan lagak bodoh
"1 pantai timur belum terjaga
bagaimana 1 Malaysia kita ini ?".

ZULKIFLI BIN MOHAMED
Kemaman, Darul Iman
04 September 2009.

Sabtu, Ogos 29, 2009

CERITA TENTANG KEPALA LEMBU


CERITA TENTANG KEPALA LEMBU


kenapa yang kecil
harus menjadi besar
kenapa yang cerdik
harus menjadi dungu
jadi kami hantarkan sepotong kepala
kepala haiwan yang bernama lembu
moga kalian yang berwajib memahami
konotasi lembu itu untuk apa ?.

ZULKIFLI BIN MOHAMED
Kemaman, Darul Iman

28 Ogos 2009.

Ahad, Julai 19, 2009

65


65

( i )
65
ini adalah angka
yang lainnya namakan
sebagai nombor.

( ii )
65
ini ialah suara
ini ialah majoriti
ini juga demokrasi.

( iii )
65
ini ialah kecerdikan
ini bukan untuk dibeli dengan janji sebuah jambatan
ini juga bukan tukaran kepada 11 hadiah untuk rakyat.

ZULKIFLI BIN MOHAMED
Kemaman, Darul Iman
15 Julai 2009.

Selasa, Julai 14, 2009

DI BAWAH SEBATANG POKOK


DI BAWAH SEBATANG POKOK

(kepada rakyat Perak yang lebih dekat dengan politik negerinya)

setelah engkau-engkau
melompat ke seberang
sana
kami yang tinggal setia
di sebelah sini
tiada diakui lagi.

oleh kerana
ruang berbumbung itu
tiada dibenarkan ke dalam
kami menumpang
sebatang pokok
yang tiada pandai menolak.

ZULKIFLI BIN MOHAMED
Perumahan Lot 144, Darul Iman
04 Mac 2009.

HAK CIPTA TERPELIHARA ZULKIFLI BIN MOHAMED

Hak cipta terpelihara ke atas semua karya yang termuat di dalam laman blog ini. Semua hasil karya ditulis dan dihasilkan sendiri oleh penulis laman blog ini, Zulkifli bin Mohamed. Tidak dibenarkan mengeluar, mengambil, menciplak atau mengulang mana-mana karya yang terkandung dalam laman blog ini dalam apa juga bentuk dan cara - sama ada secara elektronik, fotokopi dan sebagainya tanpa mendapat izin bertulis daripada penulis.

PUISI PALING BANYAK BACAANNYA OLEH UMUM